Contoh Petikan
Tajuk
4Pasport Malaysia Antarabangsa
- Jenis : SP
- Mukasurat: 113 (2.3.2)
Teks Karangan
Selamat pagi dan salam sejahtera. Saya Malik bin Adnan, pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia. Saya akan memberikan taklimat tentang Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA). Pasport Malaysia Antarabangsa ialah dokumen rasmi pengenalan diri yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara. Pada muka surat utama pasport ini, terdapat gambar dan butiran maklumat peribadi pemegang pasport. Pasport ini mempunyai rekaan yang unik dan menarik. Rekaan imej pada setiap muka surat di dalam pasport ini berlandaskan lima prinsip Rukun Negara dan mercu tanda negara. Contoh imej ialah Masjid Putra, Istana Negara, Bangunan Parlimen dan Muzium Negara. Selain itu, terdapat juga imej flora dan fauna seperti bunga raya, rama-rama dan burung. Pasport ini mempunyai ciri keselamatan yang canggih. Maklumat dan data pemegang pasport tersimpan di dalam cip keselamatan. Pasport ini juga mempunyai lebih daripada 50 ciri keselamatan khas dan ditambah baik setiap lima tahun. Ciri keselamatan ini ada yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan memerlukan peralatan khas untuk melihatnya. Oleh sebab itu, pasport ini sukar untuk dipalsukan. Pasport ini boleh dibuat di semua Pejabat Pengeluar Pasport di Malaysia dan di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara. Tempoh sah laku bagi pasport ini ialah lima tahun dari tarikh pasport ini dikeluarkan. Pemegang pasport mestilah mematuhi undang-undang dan peraturan negara yang dilawatinya. Sekian, terima kasih.
