Contoh Petikan

Tajuk

4

Projektor Mini

  • Jenis : SK
  • Mukasurat: 31 (2.3.2)

Teks Karangan

Pada hujung minggu, Amir membersihkan biliknya. Amir menggunakan penutup hidung agar tidak bersin. Banyak barangan lama yang telah rosak perlu dibuang. Tiba-tiba, dia terjumpa jam tangan yang telah rosak. Dia teringat tentang pertandingan inovasi bahan terbuang di sekolahnya. Amir meletakkan jam tangan tersebut di dalam satu bekas bersama-sama dengan beberapa barang lain yang difikirkan berguna. Keesokan hari, Amir terserempak dengan kawannya, Rakesh, selepas selesai membasuh tangan. “Amir, kamu ingin menyertai pertandingan inovasi bahan terbuang?” tanya Rakesh. “Ya, Rakesh. Saya ingin menyertainya tetapi saya mati akal untuk mencipta bahan yang akan dipertandingkan,” ujar Amir. “Kamu jangan risau. Pertandingan itu secara berkumpulan. Marilah sertai saya,” balas Rakesh bersungguh-sungguh. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Amir kembali bersemangat. “Baik, Rakesh. Saya akan menyertai kamu,” jawab Amir. Selepas selesai mengemaskan kelasnya, Amir tercari-cari Rakesh. Tidak lama kemudian, dia ternampak Rakesh di tempat menunggu bas. “Rakesh, apakah bahan yang akan kita buat untuk pertandingan itu nanti? Bukankah kita perlu menghantarnya pada minggu hadapan?” tanya Amir kerisauan. “Oh, jangan risau! Petang ini saya akan menunjukkannya kepada kamu,” jelas Rakesh. Petang itu, Rakesh dan Amir bertemu di padang. Rakesh menunjukkan video tentang projektor mini di laman Youtube. Mereka berdua menontonnya pada telefon pintar Rakesh. “Nampaknya kita perlu menyediakan beberapa bahan. Di belakang rumah saya ada banyak kotak. Daripada dibiarkan sahaja, lebih baik saya menggunakannya untuk projek kita. Dapat juga saya membersihkan kawasan itu”, kata Rakesh. “Jangan risau, Rakesh. Saya akan membantu kamu membersihkan kawasan itu. Di rumah saya pun ada beberapa utas jam tangan lama yang telah rosak. Nanti saya pilih cermin jam yang sesuai,” balas Amir teruja. Amir bertemu dengan Rakesh seperti yang dijanjikan. Dia membawa gunting, gam dan cermin bulat. Rakesh pula telah menyediakan pita pelekat. Mereka terus ke belakang rumah Rakesh untuk membersihkan kawasan itu. Mereka memilih beberapa kotak terbiar untuk menjalankan projek mereka. “Bagus, Amir. Mak cik bangga melihat kamu berdua bersungguh-sungguh membersihkan belakang rumah mak cik,” sapa Mak Cik Nithiya, ibu Rakesh. Amir membalas pujian Mak Cik Nithiya dengan senyuman. Dia dan Rakesh terus membawa kotak-kotak itu ke dalam bilik. Rakesh memasang video tentang projektor mini itu semula. Mereka tekun menonton sambil mengikut langkah-langkah yang ditunjukkan. Akhirnya, siaplah projektor mini itu. Setelah semuanya selesai, Rakesh dan Amir mengemas bilik itu. Mereka menyapu dan membuang sisa-sisa kotak yang telah digunting. Semasa hari pertandingan, ramai orang memuji projektor mini itu. Walaupun tidak sebaik projektor biasa, namun sudah cukup untuk dipilih sebagai juara.